top of page
Search

PROGRAM KESEDARAN KANSER SERVIKS MTDC MEMANFAATKAN 700 WANITA

  • tuntastinta
  • Jul 27, 2017
  • 2 min read

JOHOR BAHRU, 26 Julai (Bernama) -- Program Kesedaran Terhadap Kanser Serviks Bersama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe telah memanfaatkan seramai 700 wanita sejak November tahun lalu.

Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus berkata aktiviti itu yang merupakan Program Sosial Inovasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dipertanggungjawabkan kepada pihaknya untuk dijalankan.

Dalam masa sama, katanya MTDC bekerjasama dengan LaDIY Healthcare Sdn Bhd untuk mengadakan program itu di beberapa lokasi seluruh negara dengan syarikat tempatan terbabit berperanan menyediakan kit Cervisafe secara percuma kepada wanita yang layak menjalani ujian persampelan kanser serviks.

Wanita berkenaan adalah dalam golongan yang sudah berkahwin, pernah melahirkan anak dan kerap melakukan hubungan kelamin, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lokasi terlibat pula ialah Tamparuli di Sabah, Balik Pulau (Pulau Pinang), Sri Aman (Sarawak), Permatang Badak, Kuantan (Pahang), Bangi (Selangor), Tangga Batu (Melaka), Kota Bharu (Kelantan) dan yang terakhir, Johor Bahru (Johor).

Bagi Johor contohnya, program diadakan di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada 24 Julai lepas dan telah berjaya menarik minat lebih 300 penduduk sekitar, katanya.

Seramai 85 daripada mereka juga layak menerima peralatan Cervisafe. Turut diadakan, taklimat dan demontrasi penggunaan Cervisafe bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan saringan kanser serviks sebagai langkah pencegahan awal, kata beliau.

Menurut Norhalim, Cervisafe adalah sejenis peralatan peranti yang dihasilkan LaDIY Healthcare bagi pengesanan awal virus penyebab kanser serviks dengan cepat dan mudah.

Produk itu yang dibangunkan pada 2012 dengan kerjasama Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat pembiayaan Dana Pengkomersialan Hasil R&D (CRDF) daripada MTDC.

Produk itu membolehkan kaum wanita melakukan persampelan sendiri dalam keadaan selesa, praktikal dan selamat di kediaman masing-masing sebelum sampel dihantar ke makmal untuk ujian saringan.

Di makmal, pihak CaRE UPM dan LaDIY akan menganalisis sampel tersebut sebelum keputusan dapat dihantar dalam tempoh seminggu bagi menentukan sama ada seseorang wanita memerlukan rawatan susulan atau tidak.

-- BERNAMA

 
 
 

Comments


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2023 by Julian Alejandro. Proudly created with Wix.com

bottom of page