PKNS KOMITED AGIH RM1.4 JUTA WANG ZAKAT TAHUN INI
- tuntastinta
- Jan 12, 2018
- 1 min read
BANTING, 10 Jan (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) komited untuk mengagihkan semula peruntukan wang zakat berjumlah RM1.4 juta tahun ini bagi pembangunan umat Islam di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata wang zakat berkenaan akan diagihkan kepada asnaf yang berhak mengikut lunas-lunas hukum syarak yang ditetapkan.
"Di PKNS kami mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS yang turut disertai oleh anggota daripada Lembaga Zakat Selangor bagi memastikan agihan semula wang zakat PKNS diberi kepada golongan yang berhak dengan teratur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kunci bangunan Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Taman Desa Kemandol di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim.
Bangunan sekolah bernilai RM170,000 itu mula dibina pada September 2017 dan siap pada Disember lepas, serta mempunyai dua kelas yang mampu menampung sehingga 50 pelajar.
Pembinaan bangunan sekolah itu dibiayai sepenuhnya melalui agihan wang zakat PKNS.
Sekolah berkenaan juga merupakan sekolah KAFA Orang Asli kedua dibina di Selangor selepas Sekolah KAFA Integrasi Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang.
Sementara itu, Haris dalam ucapannya berkata, JAIS menghargai sumbangan PKNS dalam pembinaan bangunan sekolah berkenaan kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan jabatan itu dalam menguruskan sekolah agama di Selangor.
"JAIS menguruskan kira-kira 500 sekolah agama di Selangor dan pada tahun lepas, JAIS mengeluarkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menukar semua perabot yang telah usang di semua sekolah agama," katanya.
Haris juga berharap lebih banyak badan korporat menyalurkan sumbangan seperti PKNS dalam membantu JAIS memartabatkan agama Islam di negeri ini.
-- BERNAMA
Comments