Technology Park Malaysia Bantu Usahawan Wanita Sabah
- tuntastinta
- Mar 2, 2018
- 1 min read

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Seramai 35 usahawan wanita dari pelbagai sektor dan latar belakang menghadiri sesi bimbingan perniagaan di Wisma Wanita, Kota Kinabalu Sabah hari ini. Program tersebut adalah anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM). Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Mohd Azman Shahidin berkata program tersebut bertujuan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya wanita bagi meningkatkan prestasi perniagaan. "Kami sentiasa menyokong usaha memperkasa keusahawanan di kalangan usahawan wanita. Pada kali ini kami turut berkongsi maklumat mengenai pelbagai perkhidmatan, pembiayaan dan program yang tersedia untuk usahawan wanita IKS di Sabah melalui perkongsian idea, pengalaman, aspirasi serta paling penting, mempromosi produk ke peringkat yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Selain taklimat keusahawanan, TPM turut membawa usahawan TPM yang berjaya untuk berkongsi ilmu mengenai pengurusan perniagaan, jualan dan pemasaran, kewangan dan pelbagai disiplin kluster keusahawanan lain. TPM turut menyediakan skim pembiayaan sehingga RM50,000 kepada PKS yang layak, terutamanya perusahaan mikro melalui bantuan anak-anak syarikatnya, TPM Engineering Sdn Bhd dan TPM Biotech Sdn Bhd. TPM sebuah agensi MOSTI, mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan bagi membantu usahawan yang berminat mengkomersialkan idea dalam empat kelompok industri, iaitu, teknologi maklumat dan komunikasi, kejuruteraan, bioteknologi dan teknologi hijau. -- BERNAMA
Comments