Program TUBE Mega Sasar 12,000 Usahawan Belia Menjelang 2020
- tuntastinta
- Mar 11, 2018
- 2 min read
KUALA KRAI, 11 Mac (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasar untuk melahirkan 12,000 usahawan belia menjelang 2020 di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE MEGA). Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata setakat ini, seramai 2,433 belia telah dan sedang dilatih bagi menceburi pelbagai bidang keusahawanan sejak program itu mula diperkenalkan pada 2014 hingga tahun lepas. "Daripada jumlah itu, seramai 2,419 usahawan belia yang telah mendaftarkan perniagaan mereka sekali gus berjaya mewujudkan 4,414 peluang pekerjaan baharu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program TUBE MEGA 5.0 di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Batu Jong, di sini, hari ini. Program tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Mengulas lanjut, Mohamed Al Amin berkata pada tahun ini seramai 2,000 belia akan dilatih di bawah program TUBE MEGA 5.0 yang bermula 9 Mac lepas hingga 30 Mac ini di 15 kem PLKN seluruh negara. Beliau berkata belia yang lulus beberapa fasa ketika menjalani latihan itu akan mendapat geran permulaan sebanyak RM15,000 bagi memulakan perniagaan mereka. Beliau berkata program TUBE MEGA ini dikenal pasti membantu memperkasakan modal insan di bawah Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang dilaksanakan oleh kerajaan yang bersifat inklusif serta menyasarkan golongan berpendapatan rendah. Katanya, pihaknya menyasarkan 2,000 belia akan dilatih pada tahun ini dan meningkat kepada 3,000 belia pada tahun depan serta 5,000 belia menjelang 2020 dan turut mendapat penglibatan belia daripada kalangan orang kelainan upaya (OKU) dan masyarakat Orang Asli. "Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ini juga mendapat kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Sementara itu, seorang peniaga mkanan dalam talian Najma Anis Mohd Rosli, 23, berkata beliau bersyukur selepas terpilih untuk menyertai program terbabit. Katanya, beliau akan membuka kedai makan serta katering dengan ilmu dan geran permulaan sebanyak RM15,000 yang diperoleh menerusi program berkenaan. -- BERNAMA
Comments