TENGKU PUAN PAHANG RASMI LAMAN RAMA-RAMA TUNKU AZIZAH ISKANDAR
- tuntastinta
- Mar 12, 2018
- 1 min read
CAMERON HIGHLANDS, 10 Mac (Bernama) -- Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Laman Rama-rama Tunku Azizah Iskandar di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di pusat peranginan tanah tinggi ini.
Baginda yang tiba pada pukul 4 petang disambut Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi Datuk Dr Satim Diman dan Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.
Turut mengiringi baginda Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Lawatan itu merupakan satu daripada aktiviti riadah baginda bersempena aktiviti ‘Women Walk The World’ anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Negeri Pahang ke Cameron Highlands.
Bersempena perasmian laman berkenaan, Tunku Azizah berkenan menanam pokok Manuka yang merupakan spesies natif yang tumbuh di kawasan bersuhu sederhana dan hidup subur di kawasan persekitaran yang kering.
Tunku Azizah turut berkenan menyempurnakan pelepasan 300 ekor rama-rama daripada pelbagai spesies di laman berkenaan dan menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh Mohamad Roff.
Laman Rama-Rama Tunku Azizah Iskandar merupakan tarikan terbaru kluster ‘petting zoo’ di taman agroteknologi tersebut yang berkeluasan 220 meter persegi dan mempunyai lebih 200 koleksi rama-rama daripada 15 spesies.
Laman itu yang berkonsepkan kontemporari Inggeris dibina di dalam rumah kalis serangga diserikan dengan keindahan tanaman tanah tinggi dan bunga-bungaan yang menjadi tarikan rama-rama untuk membiak serta digabungkan dengan kolam air pancut serta susunan atur landskap yang menarik.
Pelawat yang berkunjung ke laman tersebut bukan sahaja dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai spesies rama-rama tetapi turut didedahkan mengenai kitaran hidupan dan pengetahuan pembiakan serangga tersebut.
-- BERNAMA
Comments