ACCA SERTAI FORUM PERNIAGAAN KOMANWEL DI LONDON
- tuntastinta
- Apr 14, 2018
- 1 min read
KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) akan mengambil bahagian pada Forum Perniagaan Komanwel 2018 di London pada 23 hingga 25 April ini.
Forum Perniagaan Komanwel itu dijadualkan berlangsung sebelum Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel ke-25 yang dihoskan UK buat kali pertama sejak 1997.
Forum Perniagaan Komanwel dan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan tersebut akan menghimpunkan kira-kira 5,000 pemimpin tertinggi dalam bidang perniagaan, politik, akademik dan budaya.
Forum berkenaan mengumpulkan kepimpinan utama dalam perniagaan, perdagangan dan pelaburan dengan kerajaan untuk membahaskan isu-isu yang dihadapi negara mereka pada 2018 dan seterusnya. Perhimpunan peringkat tinggi perniagaan itu hanya boleh dihadiri atas jemputan khas.
Ketua Eksekutif ACCA, Helen Brand berkata dengan 143,500 anggota dan hampir 300,000 pelajar di seluruh Komanwel, ACCA memahami potensi peningkatan hubungan perdagangan dapat menawarkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kepada negara-negara anggota.
"Memandangkan aliran perdagangan global berubah, kita mesti memastikan Komanwel pada kedudukan yang strategik untuk berkembang maju di dunia global.
Memastikan penduduk Komanwel mempunyai kemahiran yang bersesuaian dan dapat merebut peluang yang ditawarkan oleh teknologi baru akan menjadi suatu yang penting untuk merealisasikan peluang ini dalam sebuah generasi," tambahnya.
Dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar yang dianggarkan sebanyak US$13 trilion menjelang 2020, Komanwel bukan sahaja sebagai kuasa utama dalam perdagangan, tetapi juga pemimpin dalam memacu piawaian dan nilai-nilai yang menyokong perniagaan di seluruh negara anggota dan seterusnya.
Pada Forum Perniagaan dua setengah hari itu, ACCA akan diberi penghormatan mempengerusikan Forum PKS Komanwel dengan 50 penceramah dan perwakilan berprofil tinggi, termasuk menteri dari Kenya dan Sri Lanka.
-- BERNAMA
コメント