METRO IVF ANJUR CERAMAH KESEJAHTERAAN WANITA PADA 21 APRIL
- tuntastinta
- Apr 18, 2018
- 1 min read
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) – Metro IVF bersama syarikat susu tempatan akan mengadakan ceramah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan wanita di Klinik Mey, Star Avenue di Shah Alam pada Sabtu ini.
Ceramah berkenaan akan diterajui oleh perunding obstetrik serta ginekologi dan kesuburan, Dr Salini Suhaila Nasir akan bermula pada pukul 9 pagi hingga 12.30 tengah hari, masuk percuma dan terhad kepada 30 wanita pertama sahaja.
Pengasas dan perunding kesuburan Metro IVF Sdn Bhd, Dr Tee Swi Peng berkata: “Gaya hidup yang sihat akan memberi impak penting kepada kualiti kehidupan berkaitan kesihatan masa kini selain menghapuskan faktor risiko bagi banyak penyakit kritikal terutama mereka yang tinggal di bandar metropolitan.
"Kami berharap dengan program ‘Let's Talk Ladies’ ini, lebih ramai wanita akan tampil mendapatkan maklumat terkini dan rawatan sekiranya mereka memerlukannya," kata Dr Tee dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ceramah itu melibatkan dilema yang dialami oleh kebanyakan wanita di seluruh dunia dan Malaysia termasuk kesedaran kanser serviks yang memberi tumpuan kepada pemeriksaan pap smear oleh Dr Salini, kesedaran kanser payudara yang memberi penekanan terhadap pemeriksaan sendiri payudara oleh Dr Melissa Goh Abdullah, hati berlemak dan kepentingan sistem badan oleh Dr Siti Rohani Mohd Yassin, dan diabetes yang boleh menjejaskan wanita sebagai ibu dan anak yang belum lahir oleh syarikat susu.
Pada majlis itu, semua peserta akan ditawarkan pemeriksaan kesihatan asas .
Maklumat lanjut boleh didapati di http://metro.com.my/ atau http://www.metroivf.com.my/.
-- BERNAMA
Kommentit