HARD ROCK CAFE AKAN DIBUKA DI DXB, MENAWARKAN MUZIK, MAKANAN DAN PAKAIAN
- tuntastinta
- Sep 21, 2018
- 2 min read
Dijadualkan untuk dibuka pada November 2018
Konsep makanan dan pakaian terbaharu akan diperkenalkan di Lapangan Terbang Dubai
DUBAI, Emiriah Arab Bersatu, 20 Sept (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) --Dubai Airports telah memuktamadkan perjanjian dengan Hard Rock International dan rakan kongsi serantaunya untuk melancarkan Hard Rock Cafe pertama Dubai, yang akan dibuka pada awal bulan November di Concourse B, DXB. Lokasi baharu tersebut akan menampilkan restoran berlesen, makanan, hiburan langsung, memorabilia muzik rock dan Rock Shop dengan barangan yang terkenal. Hard Rock International ialah salah satu jenama terkemuka dunia yang popular dengan fesyen dan barangan berkaitan muzik, pengalaman restoran yang menarik dan persembahan muzik langsung yang melengkapi program #musicDXB Dubai Airports. Pembukaan kafe ini adalah yang terbaru dalam usaha mengetengahkan konsep makanan dan gaya hidup menarik di lapangan terbang paling sibuk di dunia itu. Dubai Airports bertujuan untuk meraikan pengunjung dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan menerusi transformasi lapangan terbang kepada destinasi tarikan. Eugene Barry, Naib Presiden Eksekutif Komersial Dubai Airports berkata: “Kami teruja untuk menambah Hard Rock Cafe ke senarai tarikan DXB. Ia sangat sesuai untuk lapangan terbang yang sudah terkenal dengan kedai makanan, minuman, dan muzik. Hard Rock Cafe ialah standard yang tinggi berkenaan gandingan makanan dan muzik serta merupakan komponen utama strategi kami bagi mencipta lapangan terbang yang tiada bandingan.” “Hard Rock telah lama meninjau peluang untuk membuka lokasi kedua di Dubai selepas bertahun-tahun beroperasi dengan jayanya di bandar ikonik ini,” kata Anibal Fernandez Lorden, Naib Presiden, Jabatan dan Operasi Francais, Hard Rock International. “Ini merupakan lokasi terbaik untuk memberi pengunjung peluang untuk menikmati jenama makanan dan hiburan terkemuka dunia.”. Sejak ditubuhkan pada tahun 1971, Hard Rock telah komited terhadap usaha dan aktiviti amal di seluruh dunia. Hard Rock Cafe baharu ini akan meneruskan usaha murni tersebut dalam perniagaannya. Di setiap bandar Hard Rock, kakitangannya menyumbang dalam bentuk dana, makanan dan minuman, barangan dan perkhidmatan. Hard Rock Cafe akan dibuka di Pintu B Terminal 3, yang akan menambah lagi tawaran hiburan dan santai di DXB yang terdiri daripada 100 pilihan makanan yang memenuhi segenap citarasa dan belanjawan pengunjung.
http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=11416











Comments