"EKSPRESI MEDIA - LEMBAH BUJANG 2019" TOURISM MALAYSIA BAWA PESERTA JEJAKI SEJARAH KERAJAA
- tuntastinta
- Jul 11, 2019
- 2 min read
SUNGAI PETANI, 11 Julai (Bernama) -- Seramai 25 pengamal media cetak dan media dalam talian dari pelbagai agensi di Malaysia akan mengambil bahagian dalam program “Ekspresi Media – Lembah Bujang 2019” anjuran Tourism Malaysia dari 8 hingga 11 Julai. Inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara Tourism Malaysia dengan para pengamal media dan pada masa yang sama menggalakkan mereka untuk mempromosikan produk pelancongan di Kedah sempena kempen Melawat Malaysia 2020. Edisi kedua program ini masih mengekalkan konsep yang sama iaitu lawatan suai kenal yang berbentuk interaktif melibatkan pelbagai aktiviti seperti bersiar-siar sambil mengenali dan memeriksa produk pelancongan baharu, merasai sendiri pengalaman melawat tempat-tempat menarik yang baharu dan sedia ada,serta mendengar taklimat mengenai produk pelancongan oleh para penggiat industri pelancongan. Pendekatan ini diambil untuk memberi para peserta program pengalaman yang serba lengkap mengenai produk pelancongan Kedah. Program sebegini juga diharapkan akan dapat mengeratkan jalinan hubungan antara pihak media dengan sektor kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan industri pelancongan. Para peserta akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti dan merasai sendiri pengalaman menyusuri Sungai Merbok dan mengunjungi tinggalan kota istana di Pulau Tiga dan Lubuk Pusing, mempelajari ekosistem hutan paya bakau dan melawat ladang tiram. Selain dibawa melawat Tapak Arkeologi Sungai Batu dan Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang merupakan tarikan pelancongan utama di daerah Kuala Muda, mereka juga berpeluang untuk berinteraksi dengan rusa di Batas Ubi Deer Farm, meninjau perusahaan nira nipah di Ladang Nira Nipah Napiah dan menikmati keindahan Jerai Botanical Park. Para peserta juga akan diberi taklimat mengenai sejarah negeri Kedah oleh Y.Bhg. Dato’ Dr. Wan Shamsudin Mohd. Yusof, Presiden Persatuan Sejarah Negeri Kedah yang juga merupakan ikon sejarawan terbilang di Kedah. Tourism Malaysia berharap agar para pengamal media yang terlibat akan berkongsi tentang pengalaman mereka semasa meneroka Kedah kepada para pembaca dan pengikut mereka, sekali gus membantu menimbulkan minat dalam kalangan mereka untuk melawat negeri Darul Aman ini.
http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12337
Comments