top of page

AGROBANK SALUR BANTUAN BERNILAI RM34 RIBU ...

  • tuntastinta
  • Feb 17, 2022
  • 3 min read

AGROBANK SALUR BANTUAN BERNILAI RM34 RIBU BAGI PROGRAM SANTUNI WIRA AGRO DAN MISI BANTUAN BENCANA BANJIR AGROBANK DI CHENOR, PAHANG

CHENOR, Pahang, 16 Feb (Bernama) -- Agrobank menyalurkan bantuan dengan nilai keseluruhan RM34,000 menerusi program Santuni Wira Agro dan misi bantuan banjirnya ke Chenor Pahang di bawah MAFI Prihatin. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha murni Agrobank dalam memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan iaitu juga merupakan pelanggan Agrobank.


Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha (KSU) MAFI dan Tengku Ahmad Badli Shah bin Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank serta turut disertai oleh para sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja Agrobank.


Melalui program ini, Agrobank telah menyampaikan sumbangan zakat wang tunai sebanyak RM10,000.00 kepada Madrasah Raudhah Al Muhibbin yang juga dikenali sebagai Pondok Pak Kob. Agrobank turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk wang tunai, barangan elektrik, barangan keperluan asas dan kebersihan diri kepada pelanggan depositnya di sekitar Kawasan Chenor dan Temerloh, Pahang yang turut terkesan dengan bencana itu dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM34,000.


YM Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, selaras dengan slogan ‘Sentiasa di Sisi Anda’, Agrobank amat cakna dan prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh komuniti setempat di Pahang, terutamanya pelanggan Agrobank, ekoran bencana alam yang berlaku beberapa bulan yang lalu dan membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi program MAFI Prihatin dengan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dan memerlukan.


“Sebagai sebuah institusi kewangan yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia, kami di Agrobank berasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk turut sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dek bencana alam yang berlaku di Kawasan Chenor dan Temerloh, Pahang. Apatah lagi, apabila mengetahui bahawa beberapa pelanggan Agrobank di kawasan tersebut turut terjejas akibat daripada fenomena alam ini.” katanya.


Misi bantuan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank menerusi program perdananya, Agrobank dan Komuniti yang dilancarkan dengan tujuan untuk mendekati dan menyantuni komuniti setempat di mana Agrobank beroperasi.


Mengenai Agrobank


Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.


Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.


Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 192 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 138 cawangan, 1 perbankan agro, 1 perbankan maya, 10 pusat pembiayaan komersial, 34 kiosk, 8 sudut & pusat agro.


Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.



*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.


Sumber: Agrobank


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Shahreen Rahim

Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank

Tel: 03-2731 1660 / +6012-943 6217


Nama: Norzuleana Abdul Razak

Eksekutif Kanan, Perhubungan Awam, Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank

Tel: 03-2731 1655 / +60 12-271 2537


--BERNAMA

 
 
 

コメント


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© 2023 by Julian Alejandro. Proudly created with Wix.com

bottom of page